Tuesday, November 24, 2009

PENGKALAN BATU HAMPAR,JUGRA-MEMANCING DI TEMPAT TINGGALAN SULTAN



Keinginan memancing yang meruap-ruap pada malam sebelum 21 Nov 2009 cukup bagi penulis,Bob dan Farid menjengah perairan Kuala Langat. Sempat singgah untuk membeli keperluan memancing dan membeli umpan, kami melengahkan seketika untuk makan tengahari di sebuah kedai makan di simpang 3 Dengkil sambil berbual mengenai haluan yang hendak ditujui kerana kami tidak pernah kesana.Cuma mendapat tahu daripada seorang teman yang mengatakan hotspot ikan dan lubuk-lubuk udang galah ada di sana. Saya yang sudah beberapa bulan terpaksa menggantung joran apabila sentiasa sibuk dengan tugasan seharian di pejabat mendengar katanya dengan penuh minat.Bob merupakan pemancing baru yang saya wujudkan dalam entiti kecil kami.Tentu sekali dia mula cuba-cuba belajar setup tools dan belajar teknik sebagai orang baru. Farid pula biasa mengikut bapanya memancing. Berbalik kepada cerita asal, sambil makan, saya bertanya kepada seorang orang lama di sebelah belakang mengenai jangkaan waktu untuk sampai di Banting dan seterusnya ke Jugra. Hanya kurang dari satu jam! Agak tergesa-gesa kami berangkat demi untuk sampai secepat yang boleh. Almaklumlah dah geram nak tunjuk bakat.

Sesampainya kami di Banting, rasa tidak sabar semakin membuak-buak. Kami mengambil keputusan berhenti untuk memancing kerana dah pun terjumpa port yang agak menarik di depan mata kami. Muara Sungai Manggis.Kerana hari yang sedikit rintik-rintik kami mengambil keputusan untuk berada di pengkalan perahu kecil dan terus memulakan pancingan. Sehingga ke tempoh 1 jam setengah, hasilnya kumpau. Kecewa. Kami berpindah menuju ke Pantai Kelanang. Air yang keruh tetapi sedang pasang pun tiada ikan. Mujurlah Farid mengambil inisiatif berbual dengan seorang abg di sebelah yang sama-sama memancing. Beliau dan adiknya juga ingin berpindah tempat dan nak menukar agenda pancingan di sungai pula. Kami yang ketandusan idea, lantas mengambil keputusan mengikut abg tersebut. Abg Mail namanya. Otai dan kami syaki dia memang cekap memancing. Maka tidak hairanlah dia membawa kami ke satu tempat yang cukup asing bagi kami. Sungainya lebar, pemandangan memikat,membaling pancing perlu berteknik. Tidak boleh baling sesuka hati..kalau tidak akan sangkut pada batu konkrit sebagai beting penahan tebing agar jangan runtuh. Kalau nak gulung pancing pun perlu cepat, seolah-olah terapung di permukaan. Patut pun aku keluar dari kereta dan terus baling pancing dari yang tersemat umpan masa di pantai tadi kedua-duanya sangkut! Pulak tu putus.Kena ikat yang baru.Getus saya dalam hati.Yelar macam orang lapar baru dapat nasi!.

Dalam sibuk memasang perambut baru, Bob sudah pun strike! Saya memberi sokongan padanya. Apabila beliau menaikkan sahaja ikan, saya tahu hati dia dah mula berbunga dan bukan tersenyum tetapi tertawa..woo haha aku dah dapat ikan katanya. Bob dapat belukang. Sedang saya pasang umpan dia strike lagi dengan umpan yang sama.Kali ini double hook-up! Ikan Bagok dan Ikan Duri Kunyit! Kali ini buat Farid tidak sabar,tersengih sana sini sambil berharapan adalah ikan yang sudi memakan umpan pancingnya.Saya pun...!

Umpan kami pada hari itu, umpun-umpun sarang, cacing tanah dan anak ikan karp yang kami langsung tidak gunakan.Sebelum kami balik, kami diserang oleh sekumpulan nyamuk yang luar biasa banyaknya dan besar-besar sehingga kaki saya bengkak-bengkak dek gatal-gatal gigitannya. Dalam kepala teringatkan ubat nyamuk yang memang kami tak beli dan tak terlintas dalam merancang untuk membelinya. Cukuplah sehingga Abg Mail menyatakan hasrat untuk pulang dan ingin hanya menunggu kami memancing. Jemputannya untuk balik sama-sama tak mampu kami tolak kerana kami masih belajar sesuatu di tempat yang baru. Daripada katanya jangan terlepas cakap, kalau terpandang benda yang pelik jangan tegur dan jangan cakap besar seakan ingatan untuk menguatkan lagi hajat kami. Sebenarnya kami cukup-cukup berterima kasih dengannya. Tanpa dia, tak mungkin kami ke sini.Saya dapat 2 ekor, Farid 2 ekor dan Bob at top ranking 5 ekor!. Bila pulang kami tak lupa menyimpan hasrat bahawa kami akan sampai di sini lagi selepas Hari Raya Haji ini. Kata Abg Mail 7 hb Kalendar Islam sehingga 13 dan 21 sehingga 28 hb, pasang surut 'Air baik'(Air Mati).Lebih kurang sebulan 2 kali dan jadual ini secara relatifnya hampir tepat.

No comments:

Post a Comment