Thursday, December 3, 2009

NADA DAN SUARA HATI

RINDU MEMANCING DI KAMPUNG




Selepas Hari Raya Haji yang pertama, Hari Raya kedua penulis sudah mengatur trip ringkas bersama abg ipar dan adik penulis untuk memancing di pantai berhampiran tempat yang diberikan nama Fort Supai, Tanjung Agas Port Dickson. Bangunan-bangunan yang didirikan setengah siap menjadi ‘sarang pemancing rekreasi pantai’. Penulis tidaklah menuju ke sana memandangkan terdapat kumpulan pemancing di atasnya yang berlindung dari terik panas matahari. Beberapa orang lelaki dan wanita serta beberapa kanak-kanak kecil turut serta mengisi hujung minggu dengan memancing mengikut bapa dan ibu.

Trip yang kumpau ini sebenarnya bukanlah atas sebab tempat ini tiada ikan langsung tetapi mungkin sedikit kurang atau pergi pada waktu air tidak cantik atau lubuk yang dihuni cuma ada anak-anak ikan dan kalau sesekali ada ikan datang mencari makan. Pemerhatian penulis sekali sekala teringat pada 1,2 tahun dahulu bila berjaya mendapat tangkapan ikan daun baru yang agak besar dan beberapa ikan tetanda dan ikan karang yang lain selain ikan kerapu pulau dan talang kecil.

Lebih kurang 50 ke 100 meter ke sebelah kanan dari KM Chalet terdapat longgokkan batu yang menjadi sarang ikan. Mulanya memancing di sana, tetapi apabila tali pancing sering sahaja tersangkut pada batu, kami beralih sedikit ke kanan berhampiran Fort Supai ini.

Penulis masih lagi mengekalkan keutamaan penggunaan tali monofilament 20lbs dari jenama Towada buatan Jepun kerana kekuatannya dan tahan lasak sehingga apabila talinya pecah atau tercalar ia masih lagi ada kekuatan untuk tidak putus kecuali jadi mangsa teritip yang memang benar-benar tajam! Apa yang membuatkan penulis tidak mahu bertukar pada yang lain adalah kerana talinya stabil dari 10 meter dari awal sehinggalah 10 meter yang akhir. Ini hanya pendapat melalui permerhatian apabila menggunakannya dan sudah membelinya berpuluh-puluh kali untuk koleksi dan diisi pada pancing-pancing yang lain. Satu spool 100 yards lebih kurang RM 10, dan untuk spool besar lebih kurang RM 15-25. Harga ekonomi dan mampu penulis bayar dan berpuas hati lebih dari sekadar memancing, mengumpul koleksi memancing.

Keesokannya penulis mencari lubuk-lubuk bujuk di sekitar kawasan kampung. Menarik juga apabila memerhati kocakan air dari ikan yang ada di dalamnya. Lubuk yang sebahagian besarnya dilitupi lalang dan kiambang ini dihuni oleh ikan bujuk,haruan, keli, belut, puyu, terbul, merah mata, ikan tebal sisik, seluang, sepat dan sempilai. Bila bosan memancing, penulis cuma pergi memasang tajur atau taut dan balik tengok TV di rumah sementara dapat tangkapan. Cara mudah dan sering ada hasil. Bila tak balik, rasa rindu nak memancing di kampung sayup-sayup saja datang di minda.



REKREASI PANCINGAN

BERSANTAI DI KOLAM YANG PALING IDEAL


Menarik lanskapnya, selesa tempat duduknya, tiada masalah becak dari kesan turunan hujan untuk pemancing rekreasi seperti penulis berjalan kaki melalui denai bertar milik kolam Coffee Village yang terletak di hujung sudut Putrajaya di Astana Dugang, Jln Sg.Merab. Sebuah kawasan orang asli. Lokasi luarnya boleh menghala ke Puchong, Shah Alam, Kajang dan Dengkil.


Sebenarnya penulis tiada niat untuk memberi publisiti percuma pada sebuah kolam ini tetapi apabila melihatkan konsepnya seolah-olah beriadah bersama keluarga semasa memancing. Sudah banyak kolam pancing yang penulis kunjungi, kebanyakannya lebih menumpukan kepada pemancing Jackpot dan beraktiviti mengadakan pertandingan. Maksud penulis juga bukan melemparkan suatu yang mudah dipercayai negatif untuk pendapat di bawah tetapi boleh kita memilih yang mana satu. Apabila memancing untuk memenangi Jackpot atau menyertai pertandingan, ianya lebih tertumpu kepada semangat untuk dapatkan ikan besar dan hadiah yang lumayan, ianya memberi tekanan kepada pemancing setelah membayar harga yang tinggi. Penulis juga beralasan berdasarkan memancing sebenarnya adalah satu sukan dan riadah. Kolam ini berupaya menyakinkan ibu-bapa bagi membawa anak-anak kecil untuk memancing bersama-sama mereka. Ada yang tidak membawa anak, tetapi mereka adalah suami isteri. Ada juga yang membawa kekasih. Individu dan kumpulan individu yang memancing bercampur-gaul. Semuanya dari pendapat penulis adalah dari faktor keselamatan, keselesaan, cukup ideal, tempatnya yang cantik dan tentu sekali ikannya pun banyak dan berbagai-bagai pilihan!


Maklumat di bawah mungkin dapat membantu bagi yang ingin berkunjung ke sana:-

1) Masa memancing 6.00 pagi -12 malam- RM 20 untuk 4 jam
2) Masa memancing 12.00 malam – 6.00 pagi – RM 20 untuk 6 jam

3) Spesies ikan adalah seperti spesies baung, patin, rohu, tongsan sisik halus, leekoh, keli dan lain-lain.


Pada awal pagi 26hb. Nov. 09, penulis berpakat bersama rakan penulis untuk mencuba dalam kunjungan sulung kami ke sana seramai 4 orang sebelum bercuti Raya Haji. Dahulunya tempat ini adalah paya kawasan paya terbiar. Tuannya mengambil inisiatif memajukan dari biar dipenuhi benta dan lalang. Jadi kami mencubanya. Selang beberapa ketika memancing dan menarik ikan, penulis agak kepenatan dan menyerahkan pancing kepada Rusydan, salah seorang dari rakan penulis. Hmm.. banyak juga yang ikan yang dipancingnya getus hati penulis sendiri.Cuma macam biasa, kalau terlepas selepas strike, penulis dapat bayangkan makhluk yang cuba ditariknya dari dalam air itu adalah sebesar seekor lembu! Seekor lembu mungkin juga mampu berlatih seperti ikan kalau ia sanggup tinggal lebih lama di dalam air dan mahu makan pancing yang dipegang oleh Rusydan. Maka Rusydan bolehlah lawan menariknya juga seperti manusia melawan kudrat seekor lembu. Ikan tu kecil Dan…Perlu perlahan-lahan lawan menariknya supaya mulutnya tak rabik apabila terkena mata kail atau mata kail yang memang dah kecil tu tak lurus.

Sedar tak sedar, hasilnya kami berjaya memperolehi 19 ekor ikan leekoh yang sedap-sedap untuk dimakan (table size) dan memang dibawa balik pun secara ‘beg limit’ kerana kami hanya bawa beg plastik untuk mengisi ikan pada pagi tersebut!