Thursday, December 3, 2009

NADA DAN SUARA HATI

RINDU MEMANCING DI KAMPUNG




Selepas Hari Raya Haji yang pertama, Hari Raya kedua penulis sudah mengatur trip ringkas bersama abg ipar dan adik penulis untuk memancing di pantai berhampiran tempat yang diberikan nama Fort Supai, Tanjung Agas Port Dickson. Bangunan-bangunan yang didirikan setengah siap menjadi ‘sarang pemancing rekreasi pantai’. Penulis tidaklah menuju ke sana memandangkan terdapat kumpulan pemancing di atasnya yang berlindung dari terik panas matahari. Beberapa orang lelaki dan wanita serta beberapa kanak-kanak kecil turut serta mengisi hujung minggu dengan memancing mengikut bapa dan ibu.

Trip yang kumpau ini sebenarnya bukanlah atas sebab tempat ini tiada ikan langsung tetapi mungkin sedikit kurang atau pergi pada waktu air tidak cantik atau lubuk yang dihuni cuma ada anak-anak ikan dan kalau sesekali ada ikan datang mencari makan. Pemerhatian penulis sekali sekala teringat pada 1,2 tahun dahulu bila berjaya mendapat tangkapan ikan daun baru yang agak besar dan beberapa ikan tetanda dan ikan karang yang lain selain ikan kerapu pulau dan talang kecil.

Lebih kurang 50 ke 100 meter ke sebelah kanan dari KM Chalet terdapat longgokkan batu yang menjadi sarang ikan. Mulanya memancing di sana, tetapi apabila tali pancing sering sahaja tersangkut pada batu, kami beralih sedikit ke kanan berhampiran Fort Supai ini.

Penulis masih lagi mengekalkan keutamaan penggunaan tali monofilament 20lbs dari jenama Towada buatan Jepun kerana kekuatannya dan tahan lasak sehingga apabila talinya pecah atau tercalar ia masih lagi ada kekuatan untuk tidak putus kecuali jadi mangsa teritip yang memang benar-benar tajam! Apa yang membuatkan penulis tidak mahu bertukar pada yang lain adalah kerana talinya stabil dari 10 meter dari awal sehinggalah 10 meter yang akhir. Ini hanya pendapat melalui permerhatian apabila menggunakannya dan sudah membelinya berpuluh-puluh kali untuk koleksi dan diisi pada pancing-pancing yang lain. Satu spool 100 yards lebih kurang RM 10, dan untuk spool besar lebih kurang RM 15-25. Harga ekonomi dan mampu penulis bayar dan berpuas hati lebih dari sekadar memancing, mengumpul koleksi memancing.

Keesokannya penulis mencari lubuk-lubuk bujuk di sekitar kawasan kampung. Menarik juga apabila memerhati kocakan air dari ikan yang ada di dalamnya. Lubuk yang sebahagian besarnya dilitupi lalang dan kiambang ini dihuni oleh ikan bujuk,haruan, keli, belut, puyu, terbul, merah mata, ikan tebal sisik, seluang, sepat dan sempilai. Bila bosan memancing, penulis cuma pergi memasang tajur atau taut dan balik tengok TV di rumah sementara dapat tangkapan. Cara mudah dan sering ada hasil. Bila tak balik, rasa rindu nak memancing di kampung sayup-sayup saja datang di minda.



1 comment:

  1. abg hanafi pic yg atas ne sungai ke longkang???
    lg 1 spesis ape yg terdpt kt cnw ye...??????
    keli afrika ada x????sya bmnat nk tangkap ....IKAN KELI baya x kalu sentuh?????

    ReplyDelete