Tuesday, July 13, 2010

Sunday, December 6, 2009

JUGRA-LOKASI LATIHAN 3 BULAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA





















TRIP AIR BESAR

Trip ini merupakan trip kedua yang disertai Farid dan Abg Din yang tak mahu ketinggalan. Edisi trip yang lepas dia telah ketinggalan dan berita saya pergi memancing telah diketahui satu Wisma Putra, tempat kerja saya. Bukan dia yang hebohkan tetapi entah, ramai dah tahu pada aktiviti yang saya cintai ini. Hari sebelumnya ex-bos bertanyakan saya nak kemana hujung minggu? Saya mengatakan nak pergi memancing. Selamat berseronok memancing katanya lagi.Sejak dari dulu saya bekerja dengannya dan dia memang baik dan amat berdedikasi mengenai tugas dan tanggungjawab menjaga kebajikan anak buahnya. Setelah saya berpindah pejabat kerana ingin meneruskan memberi fokus kepada peperiksaan kerajaan saya masih lagi sekali-sekala bekerja dengannya untuk sebarang aktiviti Protokol negara.

Berbalik kepada cerita asal, kami singgah di Pasar Banting untuk membeli umpan, 300 gram setiap 1 jenis umpan. Ikan bilis, sotong dan udang kertas kecil. Semuanya RM 10. Saya sempat membeli Air-Pump dengan harga RM 14 untuk mendapatkan umpan hidup di Kg. Sg. Buaya.

Sesampai di sana, latihan tentera sedang dijalankan. Latihan ini adalah latihan Komando Angkatan Tentera Udara Di Raja Malaysia. Kami tidak dibenarkan memasuki lokasi tersebut sehingga ke pengkalan 2. Sungguhpun begitu, kami melabuhkan joran di tepi pengkalan 1 termasuk beberapa penduduk setempat dari Kg Permatang Pasir dan adik-adik kecil memancing udang botol/ gantung.

Sehingga air surut, saya boleh melihat kocakan pelbagai ikan yang menghuni di dasarnya walaupun seketika, sementara berlaku perubahan air. Spesies yang menjadi idaman saya adalah siakap merah, gubal atau kurau, senangin dan tirusan. Kalaulah ikan ini dapat saya pancing di sini, pasti saya gembira.Tetapi tak mengapalah sebab saya ke sini juga dengan tujuan lain iaitu untuk mengambil gambar sebanyak yang mungkin untuk dimuatkan ke dalam blog ini.

Thursday, December 3, 2009

NADA DAN SUARA HATI

RINDU MEMANCING DI KAMPUNG




Selepas Hari Raya Haji yang pertama, Hari Raya kedua penulis sudah mengatur trip ringkas bersama abg ipar dan adik penulis untuk memancing di pantai berhampiran tempat yang diberikan nama Fort Supai, Tanjung Agas Port Dickson. Bangunan-bangunan yang didirikan setengah siap menjadi ‘sarang pemancing rekreasi pantai’. Penulis tidaklah menuju ke sana memandangkan terdapat kumpulan pemancing di atasnya yang berlindung dari terik panas matahari. Beberapa orang lelaki dan wanita serta beberapa kanak-kanak kecil turut serta mengisi hujung minggu dengan memancing mengikut bapa dan ibu.

Trip yang kumpau ini sebenarnya bukanlah atas sebab tempat ini tiada ikan langsung tetapi mungkin sedikit kurang atau pergi pada waktu air tidak cantik atau lubuk yang dihuni cuma ada anak-anak ikan dan kalau sesekali ada ikan datang mencari makan. Pemerhatian penulis sekali sekala teringat pada 1,2 tahun dahulu bila berjaya mendapat tangkapan ikan daun baru yang agak besar dan beberapa ikan tetanda dan ikan karang yang lain selain ikan kerapu pulau dan talang kecil.

Lebih kurang 50 ke 100 meter ke sebelah kanan dari KM Chalet terdapat longgokkan batu yang menjadi sarang ikan. Mulanya memancing di sana, tetapi apabila tali pancing sering sahaja tersangkut pada batu, kami beralih sedikit ke kanan berhampiran Fort Supai ini.

Penulis masih lagi mengekalkan keutamaan penggunaan tali monofilament 20lbs dari jenama Towada buatan Jepun kerana kekuatannya dan tahan lasak sehingga apabila talinya pecah atau tercalar ia masih lagi ada kekuatan untuk tidak putus kecuali jadi mangsa teritip yang memang benar-benar tajam! Apa yang membuatkan penulis tidak mahu bertukar pada yang lain adalah kerana talinya stabil dari 10 meter dari awal sehinggalah 10 meter yang akhir. Ini hanya pendapat melalui permerhatian apabila menggunakannya dan sudah membelinya berpuluh-puluh kali untuk koleksi dan diisi pada pancing-pancing yang lain. Satu spool 100 yards lebih kurang RM 10, dan untuk spool besar lebih kurang RM 15-25. Harga ekonomi dan mampu penulis bayar dan berpuas hati lebih dari sekadar memancing, mengumpul koleksi memancing.

Keesokannya penulis mencari lubuk-lubuk bujuk di sekitar kawasan kampung. Menarik juga apabila memerhati kocakan air dari ikan yang ada di dalamnya. Lubuk yang sebahagian besarnya dilitupi lalang dan kiambang ini dihuni oleh ikan bujuk,haruan, keli, belut, puyu, terbul, merah mata, ikan tebal sisik, seluang, sepat dan sempilai. Bila bosan memancing, penulis cuma pergi memasang tajur atau taut dan balik tengok TV di rumah sementara dapat tangkapan. Cara mudah dan sering ada hasil. Bila tak balik, rasa rindu nak memancing di kampung sayup-sayup saja datang di minda.



REKREASI PANCINGAN

BERSANTAI DI KOLAM YANG PALING IDEAL


Menarik lanskapnya, selesa tempat duduknya, tiada masalah becak dari kesan turunan hujan untuk pemancing rekreasi seperti penulis berjalan kaki melalui denai bertar milik kolam Coffee Village yang terletak di hujung sudut Putrajaya di Astana Dugang, Jln Sg.Merab. Sebuah kawasan orang asli. Lokasi luarnya boleh menghala ke Puchong, Shah Alam, Kajang dan Dengkil.


Sebenarnya penulis tiada niat untuk memberi publisiti percuma pada sebuah kolam ini tetapi apabila melihatkan konsepnya seolah-olah beriadah bersama keluarga semasa memancing. Sudah banyak kolam pancing yang penulis kunjungi, kebanyakannya lebih menumpukan kepada pemancing Jackpot dan beraktiviti mengadakan pertandingan. Maksud penulis juga bukan melemparkan suatu yang mudah dipercayai negatif untuk pendapat di bawah tetapi boleh kita memilih yang mana satu. Apabila memancing untuk memenangi Jackpot atau menyertai pertandingan, ianya lebih tertumpu kepada semangat untuk dapatkan ikan besar dan hadiah yang lumayan, ianya memberi tekanan kepada pemancing setelah membayar harga yang tinggi. Penulis juga beralasan berdasarkan memancing sebenarnya adalah satu sukan dan riadah. Kolam ini berupaya menyakinkan ibu-bapa bagi membawa anak-anak kecil untuk memancing bersama-sama mereka. Ada yang tidak membawa anak, tetapi mereka adalah suami isteri. Ada juga yang membawa kekasih. Individu dan kumpulan individu yang memancing bercampur-gaul. Semuanya dari pendapat penulis adalah dari faktor keselamatan, keselesaan, cukup ideal, tempatnya yang cantik dan tentu sekali ikannya pun banyak dan berbagai-bagai pilihan!


Maklumat di bawah mungkin dapat membantu bagi yang ingin berkunjung ke sana:-

1) Masa memancing 6.00 pagi -12 malam- RM 20 untuk 4 jam
2) Masa memancing 12.00 malam – 6.00 pagi – RM 20 untuk 6 jam

3) Spesies ikan adalah seperti spesies baung, patin, rohu, tongsan sisik halus, leekoh, keli dan lain-lain.


Pada awal pagi 26hb. Nov. 09, penulis berpakat bersama rakan penulis untuk mencuba dalam kunjungan sulung kami ke sana seramai 4 orang sebelum bercuti Raya Haji. Dahulunya tempat ini adalah paya kawasan paya terbiar. Tuannya mengambil inisiatif memajukan dari biar dipenuhi benta dan lalang. Jadi kami mencubanya. Selang beberapa ketika memancing dan menarik ikan, penulis agak kepenatan dan menyerahkan pancing kepada Rusydan, salah seorang dari rakan penulis. Hmm.. banyak juga yang ikan yang dipancingnya getus hati penulis sendiri.Cuma macam biasa, kalau terlepas selepas strike, penulis dapat bayangkan makhluk yang cuba ditariknya dari dalam air itu adalah sebesar seekor lembu! Seekor lembu mungkin juga mampu berlatih seperti ikan kalau ia sanggup tinggal lebih lama di dalam air dan mahu makan pancing yang dipegang oleh Rusydan. Maka Rusydan bolehlah lawan menariknya juga seperti manusia melawan kudrat seekor lembu. Ikan tu kecil Dan…Perlu perlahan-lahan lawan menariknya supaya mulutnya tak rabik apabila terkena mata kail atau mata kail yang memang dah kecil tu tak lurus.

Sedar tak sedar, hasilnya kami berjaya memperolehi 19 ekor ikan leekoh yang sedap-sedap untuk dimakan (table size) dan memang dibawa balik pun secara ‘beg limit’ kerana kami hanya bawa beg plastik untuk mengisi ikan pada pagi tersebut!

Wednesday, November 25, 2009

SEJARAH JUGRA DI BAWAH PEMERINTAHAN SULTAN ABDUL SAMAD (1859 HINGGA 1898)


Sungai Hulu Langat yang mengalir di sebelah atasnya merupakan sisipan menuju ke Selat Melaka melalui kualanya iaitu Kuala Sungai Langat yang terletak di Jugra. Berhampirannya ada sebuah pulau yang diberi nama Pulau Carey sempena mengambil nama seorang pegawai British bernama Valentine Carey. Jugra pula mengambil nama dari perkataan kera yang terdapat banyak populasinya di situ dan disebut oleh orang British yang tidak secara betulnya menyebut kera tetapi Jugra. Pada awalannya, ia lebih dikenali sebagai Tanjung Kera sebelum ditukar menjadi Bandar Temasya semasa perintahan Sultan Sir Abdul Samad(1859-1898).Balai Polisnya pula dahulu di panggil Rumah Pasungan yang dibina oleh Kapten Harry Charles Syers, seorang pegawai polis British sehingga tahun 1882 apabila pentadbiran Selangor berpindah secara rasminya ke Klang.Ianya terletak kira-kira 50 meter dari Pengkalan Batu Hampar. Seketika memancing tempohari, kami tidak tahu mengenai nama bagi Hotspot yang ditunjukkan oleh Abg Mail kepada kami ini. Apa yang pasti saya sempat mendengar katanya bahawa ini adalah bekas Pengkalan lama yang diwujudkan oleh Sultan Sir Abdul Samad sebelum baginda mangkat.Tempat kami memancing adalah Pengkalan Satu dan di sebelah hujungnya adalah Pengkalan Dua. Melalui maklumat yang beliau berikan pada saya, saya menyelidik menerusi berbagai-bagai laman web untuk focal point kawasan hotspot ini dan sejarahnya. Terdetik rasa bangga di hati dan muncul perasaan baru iaitu 'ingin tahu lagi' tidak kira dari segi teknik pancingan dan ikan yang berpotensi boleh dipancing atau sejarahnya yang panjang!.Pengkalan ini merupakan laluan kapal pengangkut bijih timah dari Kajang, Semenyih dan Jenderam, hasil-hasil hutan dan kemudahan mobiliti penduduk. Secara kesimpulan di bawah tajuk kecil, Hulu Langat adalah terletak di hulu, Kuala Langat merujuk kepada aliran air sungai yang meneruskan alirannya ke laut. Sebuah kawasan yang hampir dengan Pantai Bagan Lalang, Pantai Morib, Pantai Kelanang yang baru dibuka dan jika kita menyisir disepanjang laluan belakangnya yang bertar ianya boleh sampai sehingga ke Port Dickson. Pada hemat saya mungkin di Lukut. Memang sah, dahulunya Lukut juga antara kawasan yang memohon untuk berada di bawah pemerintahan Selangor satu seketika dahulu tetapi Sultan menolaknya dan diambil untuk masuk ke dalam jajahan Negeri Sembilan. Perkara ini sedikit sebanyak tidak langsung memuaskan hati Undang Luak Sungai Ujong. Tetapi kuasa yang ada padanya tidak cukup untuk membolehkan beliau meneruskan hasrat menjadikan Sg. Ujong termasuk dalam kawasan jajahan Negeri Selangor. Saya ingin mencuba menjejakinya lain kali untuk ke Lukut melalui jalan ini.

Sumber: Website: 1) Wikipedia berkenaan Sejarah Pengkalan Batu Hampar
2) Laman Web Majlis Daerah Kuala Langat
3) Laman Web Muzium Negeri Selangor
4) Laman Web Jabatan Penjara Kuala Langat
5) Laman Web Perihal Rumah Api Bukit Jugra
6) Orang Perseorangan ( Encik Mail)

Tuesday, November 24, 2009

PENGKALAN BATU HAMPAR,JUGRA-MEMANCING DI TEMPAT TINGGALAN SULTAN



Keinginan memancing yang meruap-ruap pada malam sebelum 21 Nov 2009 cukup bagi penulis,Bob dan Farid menjengah perairan Kuala Langat. Sempat singgah untuk membeli keperluan memancing dan membeli umpan, kami melengahkan seketika untuk makan tengahari di sebuah kedai makan di simpang 3 Dengkil sambil berbual mengenai haluan yang hendak ditujui kerana kami tidak pernah kesana.Cuma mendapat tahu daripada seorang teman yang mengatakan hotspot ikan dan lubuk-lubuk udang galah ada di sana. Saya yang sudah beberapa bulan terpaksa menggantung joran apabila sentiasa sibuk dengan tugasan seharian di pejabat mendengar katanya dengan penuh minat.Bob merupakan pemancing baru yang saya wujudkan dalam entiti kecil kami.Tentu sekali dia mula cuba-cuba belajar setup tools dan belajar teknik sebagai orang baru. Farid pula biasa mengikut bapanya memancing. Berbalik kepada cerita asal, sambil makan, saya bertanya kepada seorang orang lama di sebelah belakang mengenai jangkaan waktu untuk sampai di Banting dan seterusnya ke Jugra. Hanya kurang dari satu jam! Agak tergesa-gesa kami berangkat demi untuk sampai secepat yang boleh. Almaklumlah dah geram nak tunjuk bakat.

Sesampainya kami di Banting, rasa tidak sabar semakin membuak-buak. Kami mengambil keputusan berhenti untuk memancing kerana dah pun terjumpa port yang agak menarik di depan mata kami. Muara Sungai Manggis.Kerana hari yang sedikit rintik-rintik kami mengambil keputusan untuk berada di pengkalan perahu kecil dan terus memulakan pancingan. Sehingga ke tempoh 1 jam setengah, hasilnya kumpau. Kecewa. Kami berpindah menuju ke Pantai Kelanang. Air yang keruh tetapi sedang pasang pun tiada ikan. Mujurlah Farid mengambil inisiatif berbual dengan seorang abg di sebelah yang sama-sama memancing. Beliau dan adiknya juga ingin berpindah tempat dan nak menukar agenda pancingan di sungai pula. Kami yang ketandusan idea, lantas mengambil keputusan mengikut abg tersebut. Abg Mail namanya. Otai dan kami syaki dia memang cekap memancing. Maka tidak hairanlah dia membawa kami ke satu tempat yang cukup asing bagi kami. Sungainya lebar, pemandangan memikat,membaling pancing perlu berteknik. Tidak boleh baling sesuka hati..kalau tidak akan sangkut pada batu konkrit sebagai beting penahan tebing agar jangan runtuh. Kalau nak gulung pancing pun perlu cepat, seolah-olah terapung di permukaan. Patut pun aku keluar dari kereta dan terus baling pancing dari yang tersemat umpan masa di pantai tadi kedua-duanya sangkut! Pulak tu putus.Kena ikat yang baru.Getus saya dalam hati.Yelar macam orang lapar baru dapat nasi!.

Dalam sibuk memasang perambut baru, Bob sudah pun strike! Saya memberi sokongan padanya. Apabila beliau menaikkan sahaja ikan, saya tahu hati dia dah mula berbunga dan bukan tersenyum tetapi tertawa..woo haha aku dah dapat ikan katanya. Bob dapat belukang. Sedang saya pasang umpan dia strike lagi dengan umpan yang sama.Kali ini double hook-up! Ikan Bagok dan Ikan Duri Kunyit! Kali ini buat Farid tidak sabar,tersengih sana sini sambil berharapan adalah ikan yang sudi memakan umpan pancingnya.Saya pun...!

Umpan kami pada hari itu, umpun-umpun sarang, cacing tanah dan anak ikan karp yang kami langsung tidak gunakan.Sebelum kami balik, kami diserang oleh sekumpulan nyamuk yang luar biasa banyaknya dan besar-besar sehingga kaki saya bengkak-bengkak dek gatal-gatal gigitannya. Dalam kepala teringatkan ubat nyamuk yang memang kami tak beli dan tak terlintas dalam merancang untuk membelinya. Cukuplah sehingga Abg Mail menyatakan hasrat untuk pulang dan ingin hanya menunggu kami memancing. Jemputannya untuk balik sama-sama tak mampu kami tolak kerana kami masih belajar sesuatu di tempat yang baru. Daripada katanya jangan terlepas cakap, kalau terpandang benda yang pelik jangan tegur dan jangan cakap besar seakan ingatan untuk menguatkan lagi hajat kami. Sebenarnya kami cukup-cukup berterima kasih dengannya. Tanpa dia, tak mungkin kami ke sini.Saya dapat 2 ekor, Farid 2 ekor dan Bob at top ranking 5 ekor!. Bila pulang kami tak lupa menyimpan hasrat bahawa kami akan sampai di sini lagi selepas Hari Raya Haji ini. Kata Abg Mail 7 hb Kalendar Islam sehingga 13 dan 21 sehingga 28 hb, pasang surut 'Air baik'(Air Mati).Lebih kurang sebulan 2 kali dan jadual ini secara relatifnya hampir tepat.

SALAM 1 MALAYSIA

Salam 1 Malaysia

Pembaca mahupun bagi yang tidak sengaja ter'klik' ke sini, SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA YANG TAK SEBERAPA NI. Saya akan sentiasa rakamkan aktiviti-aktiviti memancing sambil jua menyelam minum air, menjejaki sejarah latar belakang sesuatu tempat yang saya singgah untuk memancing. Bukan apa, nak jadikan sukan memancing sebenarnya adalah wadah mencari ilmu seperti kata pepatah 'Jauh Berjalan Luas Pemandangan'.Saya sukakan realistik memancing bagi ramai orang di Malaysia. Dari sudut kos,masa lapang dan komitmen tugas.Saya tak mampu nak memancing ke Australia atau ice fishing kat mana-mana negara salji dalam masa terdekat ni. Usahkan ke Kalimantan Barat, Sabah dan Sarawak pun saya tak pernah pergi. Ye..saya pemancing realistik orang Malaysia. Ramai pemancing di Malaysia sebegitu. Saya salah seorang dari mereka-mereka yang tidak dinaungi oleh mana-mana company core businessnya memancing atau mana-mana organisasi. Yang pasti saya bersukan.Ye lar jadi penghalang juga kepada hobi yang saya cintai ini tetapi saya perlu makan,pakai selesa dan tunaikan tanggungjawab kepada negara.Maka memancing juga saya mendalami ilmunya,merasai pengorbanannya, berkorban kerananya (hahah! kos lah tu!) berkorbankannya untuk kerja dan janganku terkorban dengannya udah le..!Dari ilmu manusia jadi kaya. Maknanya kalau saya tak kaya lagi, maknanya saya masih tak cukup lagi ilmu la tu.Saya perlu usaha mencari.Jadi saya kekal position optimis!Okey! saya berhenti berceloteh!Inilah yang mampu saya nukilkan buat semua pengemar sukan memancing di Malaysia. Sebuah Dimensi Baru Arena Memancing.Jom Memancing,SOund NAvigation Ranging. Jom Memancing!